Menurut Kamus Dewan (1996) ‘Kemahiran’
ditakrifkan sebagai kecekapan dan kepandaian. ‘Belajar’ pula diertikan sebagai
‘usaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan, menuntut ilmu atau menjalani latihan’
dan sebagainya. Daripada definisi ini dapat disimpulkan bahawa kemahiran
belajar adalah ‘kecekapan dan usaha `gigih untuk memperolehi ilmu pengetahuan’.
Kemahiran belajar merupakan salah satu
kemahiran utama dalam pengajaran dan pembelajaran bestari. Ianya bermula
daripada menentukan bahan yang optimum hingga ke pemerolehan maklumat dan
seterusnya memproses maklumat. Kemahiran
belajar juga merupakan kemahiran asas kepada seseorang untuk menerokai dan
menguasai ilmu yang dipelajarinya. Oleh yang demikian, setiap pendidik perlulah
menguasai ilmu Kemahiran Belajar sebelum beliau sendiri dapat mencurahkan ilmu
kepada para pelajar.
Menurut Abdul Razak Habib (2002), kemahiran
belajar merujuk kepada gaya pembelajaran yang merangkumi motif dan
strategi tertentu yang dipraktikkan oleh pelajar bagi memperolehi
maklumat dan hasil pembelajaran. Kajian Hewitt (1973) menunjukan bahawa
faktor-faktor yang menjadi punca kegagalan pelajar dan ketidakupayaan untuk
mencapai skor yang baik adalah kerana mereka mempunyai masalah dalam kaedah
pembelajaran mereka.
Selain itu, Dunn dan Dunn (1992) menyatakan
pelajar-pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang lebih cemerlang, lebih
berdisiplin dan mempunyai sikap yang positif ialah apabila mereka mempunyai
teknik belajar yang berkesan. Di samping itu, Selmes (1987) menyatakan bahawa Kemahiran Belajar adalah kemahiran yang
membolehkan seseorang pelajar itu mencari, menilai, memilih, menyusun,
menyimpan dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Kemahiran belajar bererti
kebolehan atau kecekapan yang patut dikuasai oleh setiap pelajar agar
membolehkannya mengumpul, memproses dan merumus maklumat secara kendiri serta
menuju kearah pembelajaran seumur hidup.